06 March 2007

SEJUNJUNG SIRIH

SEJUNJUNG SIRIH DUA SIKINYA

Ahmad tiada bercetera kepada rakannya sebab itu Muhammad dan Badri tiadalah mengetahui apa-apa padahal Muhammad rupanya ada pula bercita-cita berkehendakkan Badariah menjadi rakan hidupnya sama seperti cita-cita Ahmad.

Tiada terupa pada akal Muhammad boleh berjumpa dengan Badariah kerana itu dilayangkan surat yang mengandungi gurindam bertanyakan adakah kiranya Badariah sudi menjadi rakan hidupnya?

Badariah sangat-sangat pula terkejut menerima surat itu. Badariah sangat-sangat khuatir jika dua pemuda yang bersahabat ini berlaga kelak. Badariah memang ragu memilih di antara dua pemuda ini tetapi ia sedar telah berjanji dengan Ahmad. Badariah percaya Ahmad tiada memberitahu rakannya Ahmad.

Puaslah Badariah berfikir apa mesti diperbuat. Jika tiada dilayankan surat itu ditakutinya pula ia digusarkan oleh Muhammad. Jika dilayankan nescaya akan menyebabkan perbalahan. Akhirnya ia berazam menulis surat dengan berterus-terang mengatakan ia telah berkasih-kasihan bahkan telah berjanji dengan Ahmad. Di antara lain-lain ada dua baris begini:
“sekiranya adinda belum berjanji dengan Ahmad nescaya adinda junjung tawaran kekanda itu tetapi apa boleh buat Ahmad telah terdahulu dan adinda tiada sanggup hendak mungkir janji dengannya”

Surat ini telah sampai kepada Muhammad. Muhammad mengurut dadanya seolah-olah menyesal kerana terlambat sedikit sahaja. Dengan ikhlas ditunjukkannya surat itu kepada Ahmad sambil memberi tahniah.

MADU MENJADI RACUN

Ahmad menatap jawapan Badariah itu dengan perhatian yang jauh. Pada fahamnya bahawa perkataan itu bererti rupanya Badariah cukup kasih kepada Muhammad tetapi ia telah memintas dahulu. Ahmad menyesal kepada perbuatannya berjumpa dengan Badariah kerana perjumpaan telah menyebabkan Badariah terikat kepada suatu janji pada masa hatinya kasih kepada yang lain.

Ahmad ada di dalam fikiran hendak mengorbankan dirinya kepada sahabatnya. Ahmad tiada mahu merosakkan hati rakannya Muhammad. Sebaliknya Muhammad yang menerima jawapan daripada Badariah yang demikian merasa ada dikasihi oleh Badariah sedikitnya badariah telah berjanji dengan rakannya Ahmad. Muhammad berfikir tiada molek baginya merunsingkan fikiran rakannya kerana itu wajib atasnya mengorbankan dirinya kerana memberi kesenangankepada rakannya.

Di dalam sulit Muhammad meminta suatu pekerjaan kerani di Sarawak di dalam sulit jua Ahmad berkira hendak belayar ke Medan kerana hendak menjauhkan diri.