11 August 2010

dia datang lagi

dia tiba lagi..bersama teman2 setia mengiringinya..Ramadhan, azamku kan aku sambut kedatanganmu dengan rasa ikhlas di hati..moga dapat ku layani tetamuku ini dengan sepenuh jiwa, agar hadirnya memberi makna dan beredarnya bersama rasa puas..

Ramadhan ini bukan yang pertama ditemui, tapi mungkin pula yang terakhir dapat dikecapi.. andai itu takdirNya, izinkan aku Ya Allah.. meniti hari2nya dengan rasa tenang dan bahagia, meneruskan warisan pesuruhMu yang sentiasa bertadarus di siang dan malamnya..

izinkan aku..

06 July 2010

termenung

dah lama tak update blog ni, takde idea...makin sempit daya kreatif pemikiran ni..ntah nape.

hidup ni diteruskan juga, melalui hari separa sibuk...dengan karenah anak-anak, dan juga anak sendiri...susahnya bondaku menjaga kami yang berbelas orang ni dulu..hehe (sekarang baru la rasa sendiri)

tadi bertanya pada si dia..kenapa lelaki suka memandang wanita cantik..jawabnya : semua orang sukakan yang cantik, kalau suka yang tak cantik..itu baru la dikira tak normal dan wajar ditanya..huhu betul jugak kan?

sebenarnya nak mendidik diri supaya sentiasa bersangka baik dengan orang lain tak lah semudah sebutannya...perkataan 'sangka baik' tu cuma dua patah aje, tapi nak sebatikannya dalam diri tak seringkas dua patah tu..

si dia selalu pesan ; jangan dengar cerita sebelah pihak.. tapi dah memang dah sebelah pihak aje yang bercerita, camana nak gi tanya,kan?kan?hehe

hai! si kecik ni dah start dah...misi mengacau umi dia..sambung lain kali

31 May 2010

ayahku pergi

pejuang telah pergi
berangkat meninggalkan kami


Rabu 4.30 pagi, ayahanda kami Ghazali Ahmad kembali ke pangkuan Penciptanya.

sehari ebelumnya, anak-anak yang seramai 11 orang ini tiba seorang demi seorang dari perantauan.


sorang dari negeri 9, 2 di Johor, sorang di Pahang, sorang abang di Selangor dan 2 lagi dari Kelantan...yang di sekitar Terengganu juga dipermudahkan Allah untuk segera pulang.



kata Kak Ah: "balik cepat Nah, takut ko tak sempat!"
kataku: "nape? tenat betul ke? tadi pagi Kak Ji cakap ok lagi"


lalu senja Isnin itu menyaksikan betapa laju dan cemasnya Abu Iyas memulas stereng 'kereta kebal'nya...baby Hafiy bin Adik Mat pun merasa la bermusafir selama hampir 10 jam sambil dipeluk kemas umi beliau.



AlhamduliLlah, hati redha dengan pemergian ini...seramai jemaah yang hadir untuk solat jenazah..sebanyak itu juga rasa sejuk di hati ni.



dan buat pertama kalinya..baru dirasa bagaimana yang disebut orang 'air mata mengalir tanpa disedari'..tanpa sedar, pipiku basah..hati berkata jangan, tapi ia keluar je menonong sendiri..hehe (jarang-jarang nangis depan orang nih)



selamat jalan ayah, semoga ayah dirahmati, diluaskan kuburannya, diringankan azab yang diterima, dimuliakan dengan ganjaran syurga..moga dapat jumpa lagi di syurga, ayah...doanya

28 January 2010

fahami yang tersirat

dari blog cina islam

Berapa tahun anda mendirikan rumah tangga?

Ada yang kita temui mengakui sudah bertahun-tahun bersama suami, tetapi masih tidak mengenali hati budi suami masing-masing. Kalau yang baru berkahwin tidak menjadi masalah kerana mereka baru hendak mengenali hati masing-masing. Namun kadang-kadang mereka tidak mengambil kesempatan pada masa itu untuk mengenali satu sama lain.

Sebelum ini saya pernah mencadangkan kepada setiap pasangan yang baru berkahwin agar menulis dan menyenaraikan apakah yang digemari pasangan, dan yang dibencinya. Apabila sudah mengenali kegemaran dan kebencian pasangan, carilah jalan tengah supaya masing-masing boleh menerima seadanya.

Walau bagaimanapun bagi mereka yang tidak sempat melakukan semua itu pada awal perkahwinan, boleh belajar untuk memahami sikap suami dan isteri dalam pergaulan harian.

Dalam ruang yang terbatas ini saya akan menjelaskan bagaimana untuk mengenali hati dan sikap pasangan.Perhatikan sikap di bawah, jika masalah anda sama dengannya, bertindakkah seperti yang dicadangkan di situ.

Sikap Suami1
Memuji masakan isteri

Maksud Tersirat
Dia suka dengan masakan dan sesuai dengan cita rasanya.

Tindakan
Ambil perhatian dan ingat risipi itu untuk masakan akan datang.

2 Memuji masakan orang lain

Maksud Tersirat
Dia memang suka masakan itu dan dia mahu isterinya belajar masakan seperti itu.

Tindakan
Ambil tindakan segera untuk belajar risipi tersebut.

3. Memuji pakaian seseorang wanita

Maksud Tersirat
Dia mahu isterinya pakai pakaian seperti itu dan bersedia membantu isterinya ke arah itu.

Tindakan
Isteri perlu tanya suami pandangannya secara ikhlas.

4. Memuji seorang wanita

Maksud Tersirat
Dia mahu isterinya bersikap seperti wanita itu.

Tindakan
Isteri perlu mengkaji apa yang istimewa pada wanita itu.

5. Suami selalu bercakap tentang masalah rumah tangga orang lain.

Maksud Tersirat
Dia mahu isteri ambil iktibar agar tidak mengulangi sikap isteri yang bermasalah itu.

Tindakan
Isteri perlu selidik mengapa mereka bergaduh.

6.Suami suka bercakap tentang sebab-sebab keluarga jirannya berpoligami.

Maksud Tersirat
Dia mahu isteri pandai jaganya, jangan jadi macam jiranya. Kalau tidak dia akan menerima nasib yang sama.

Tindakan
Isteri perlu membuat kajian mereka boleh berlaku poligami dan cuba membendung dalam pergaulannya.

7.Suami suka mengambil sikap berdiam diri daripada bercakap banyak.

Maksud Tersirat
Dia mahu isteri ambil perlu bercakap dengannya dan mahu dilayan dan dimanjai

Tindakan
Isteri perlu mengambil tindak mengubah cara hidup dan pergaulannya selama ini.

8.Suami membawa balik makanan yang dibeli di luar.

Maksud Tersirat
Suami mahu mengucapkan terima kasih kepada Isteri yang selalu memasak untuknya.

Tindakan
Isteri perlu mengucap terima kasih dan memberi layanan yang baik kepadanya.

Paparan ini adalah pandangan peribadi saya hasil pengalaman dan kajian secara rawak dalam kalangan umat Islam. Lazimnya isteri tidak faham maksud itu, lalu bertindak sebalik sehingga berlaku pergaduhan antara kaki tangan.

Contoh yang paling dekat ialah no 6, apabila suami berbuat begitu, isteri mensyakki sesuatu terhadap suaminya. Dia segera mengenakan syarat yang berbagai-bagi.Suami sebenarnya tidak mahu poligami tetapi kadang-kadang sikap suami itu seperti doakan pula. Akhirnya suaminya kahwin lain.

Jadi, betulkan sikap demi keharmonian rumah tangga.

**disertakan ulasan pembaca:

Tanpa Nama berkata...
salam..drs kalau suami tu menulis ini dalam blog, maksud apa pulak ye?
1/27/2010 8:53 PM

yes berkata...
Kalau suami mahukan isteri memahami nya, suami jug harus memahami isteri. Di zaman ini isteri juga keluar rumah mencari rezeki. Pendapatan isteri juga di kongsi utuk perbelanjaan rumah tangga. Tetapi suami suami ini terus mahu di layan sebagai putra.Penulis ini berat sebelah .
1/28/2010 1:05 AM

##dan ini ulasan annas:
tergelak pulak baca ni, rupanya banyak yang tersirat tak difahami..tapi hairannya kenapa ramai yang bercerita supaya isteri memahami suami...kalau kat kursus kawin, hak suami selalu ditekankan.tapi bila bercakap pasal hak isteri sikit pulak sembangnya..

(baru aje dengar luahan para isteri dek karenah seorang yang bergelar suami)..astaghfirullah, kenapa lelaki tak cukupkan pengetahuan agama sebelum kawin? (kawin yang pertama kemudian kedua dan seterusnya...)

kenapa masa nak kawin kedua pandai cari helah kat pejabat agama tapi bila nak selesaikan masalah adil antara kedua isteri, malu pulak nak menjengah ke sana?musykil betul! susah juga nak faham lelaki ni....

17 January 2010

mengetuk semangat

mencelah dalam kesibukan masa, baru saja pulang daripada suatu bentuk latihan penguat semangat. dua minggu berlalu dengan kepenatan terasa membeban di bahu..ibu guru baru ini masih berusaha menyesuaikan diri menangani karenah putera-puteri di PASTI.
juga si kecil yang ingin cuba diajarkan tentang manis dan pahitnya suatu pengorbanan...aduhai.. memeritkan rupanya, jua menuntut hati supaya banyak bersabar. saat menoleh ke belakang dan menyaksikan linangan air mata di pipinya, hati berucap:"sabarlah diri..."
tergeraknya sekeping hati ini untuk mengikuti tamrin anjuran Muslimat PAS rupanya memberi seribu macam hikmah dan kenangan..teman yang sudah 10 tahun tidak bersua, senior yang entah bila kali terakhir dipandang wajah redupnya...dan yang paling membahagiakan, berkongsi pengalaman dan mencipta memori bersama sahabat satu perjuangan.
semangat di hati seakan bertambah menebal..kata sahabat: "bukanlah kerana tiada ikhlas sebelum ini..bukan juga kerana tiada rasa di hati..tetapi pengalaman kali ini terasa sangat membahagiakan..menambah rencah rasa dan ikhlas di sanubari.."
dan bagi ibu guru, yang paling menarik dari sesi musafir ini adalah dengan kehadiran pimpinan tertinggi dalam perjuangan..meneliti tiap tutur kata dan lembaran pengalaman yang diceritakan mereka, juga melirik pada mata mereka yang membasah tatkala bicara soal perjuangan dan pengorbanan...wah!sangat terkesan..lalu hati berkata :"aku tidak sendirian di jalan ini, juga bukan yang pertama atau yang terakhir melaluinya!!"
syukurku padaMu ya Allah, atas peluang ini..
**kenangan di Tamrin Kepimpinan DMPNJ kali kedua 16-17 Jan.2010

13 January 2010

dalam ke'busy'an


salam...


sibuk sikit sebab dah mula kerja balik..berkorban apa saja..kata seseorang..dan pengorbanan yang mampu dibuat cuma sekadar begini..(lain kali tulis semula..sibuk)


ni nak promosi untuk adik2..rasa bersalah pulak kalau yang ni pun takleh nak tolong..


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam sejahtera.


Bersyukurlah kita kepada Allah S.W.T, pemberi kemudahan yang tidak kita jangka.Selawat dan Salam buat junjungan mulia, kekasih Allah Nabi Muhammad S.A.W, Ahli keluarganya, para sahabat dan para pejuang agamanya sekelian.


Dalam kenyataan ringkas ini, saya ingin memaklumkan kepada semua blogger dan penggunjung-pengunjung yang budiman bahawa kami dari Persatuan Lepasan Pelajar Darul Taqwa (PLPDT) ingin mengadakan Program Rehlah Kepimpinan dan Hari Keluarga PLPDT (RK&HK 2010) bagi Tahun 2010 pada 22hb dan 23hb Januari ini yang terbuka pada Ahli dan Pasangan ahli (Ahli bersekutu).


Pihak Pengusaha chalet dan tapak kem memohon pihak kami menyatakan jumlah peserta yang ingin mengikuti program ini selewat-lewatnya 16hb januari yang jatuh pada hari Sabtu ini. ini kerana pihak pengurusan chalet ingin mengira kos makanan dan tempat yang sesuai dengan jumlah peserta.


Oleh kerana itu, diruang yang cukup singkat ini, saya memohon jasa baik semua blogger dan pengunjung blog PLPDT ini dapat memaklumkan pada semua Lepasan Madrasah Darul Taqwa yang berada diluar sana.


Segala pertolongan dan usaha pihak tuan semua, Kami mendoakan semoga Allah S.W.T membalasnya dengan sebaik-baik ganjaran. Doakan segala kesulitan yang kami hadapi agar dipermudahkan oleh Maha Pemudah.


Terima kasih, Jazakallah.


Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.


Mohd Shahril Mohd AlimPresiden PLPDT 2009/2010