06 March 2007

SEJUNJUNG SIRIH

SEJUNJUNG SIRIH DUA SIKINYA

Ahmad tiada bercetera kepada rakannya sebab itu Muhammad dan Badri tiadalah mengetahui apa-apa padahal Muhammad rupanya ada pula bercita-cita berkehendakkan Badariah menjadi rakan hidupnya sama seperti cita-cita Ahmad.

Tiada terupa pada akal Muhammad boleh berjumpa dengan Badariah kerana itu dilayangkan surat yang mengandungi gurindam bertanyakan adakah kiranya Badariah sudi menjadi rakan hidupnya?

Badariah sangat-sangat pula terkejut menerima surat itu. Badariah sangat-sangat khuatir jika dua pemuda yang bersahabat ini berlaga kelak. Badariah memang ragu memilih di antara dua pemuda ini tetapi ia sedar telah berjanji dengan Ahmad. Badariah percaya Ahmad tiada memberitahu rakannya Ahmad.

Puaslah Badariah berfikir apa mesti diperbuat. Jika tiada dilayankan surat itu ditakutinya pula ia digusarkan oleh Muhammad. Jika dilayankan nescaya akan menyebabkan perbalahan. Akhirnya ia berazam menulis surat dengan berterus-terang mengatakan ia telah berkasih-kasihan bahkan telah berjanji dengan Ahmad. Di antara lain-lain ada dua baris begini:
“sekiranya adinda belum berjanji dengan Ahmad nescaya adinda junjung tawaran kekanda itu tetapi apa boleh buat Ahmad telah terdahulu dan adinda tiada sanggup hendak mungkir janji dengannya”

Surat ini telah sampai kepada Muhammad. Muhammad mengurut dadanya seolah-olah menyesal kerana terlambat sedikit sahaja. Dengan ikhlas ditunjukkannya surat itu kepada Ahmad sambil memberi tahniah.

MADU MENJADI RACUN

Ahmad menatap jawapan Badariah itu dengan perhatian yang jauh. Pada fahamnya bahawa perkataan itu bererti rupanya Badariah cukup kasih kepada Muhammad tetapi ia telah memintas dahulu. Ahmad menyesal kepada perbuatannya berjumpa dengan Badariah kerana perjumpaan telah menyebabkan Badariah terikat kepada suatu janji pada masa hatinya kasih kepada yang lain.

Ahmad ada di dalam fikiran hendak mengorbankan dirinya kepada sahabatnya. Ahmad tiada mahu merosakkan hati rakannya Muhammad. Sebaliknya Muhammad yang menerima jawapan daripada Badariah yang demikian merasa ada dikasihi oleh Badariah sedikitnya badariah telah berjanji dengan rakannya Ahmad. Muhammad berfikir tiada molek baginya merunsingkan fikiran rakannya kerana itu wajib atasnya mengorbankan dirinya kerana memberi kesenangankepada rakannya.

Di dalam sulit Muhammad meminta suatu pekerjaan kerani di Sarawak di dalam sulit jua Ahmad berkira hendak belayar ke Medan kerana hendak menjauhkan diri.

19 February 2007

karya pertama

PERINGATAN DARI TUHAN

Pagi tadi mataku menatap
Lembaran khabar dunia
Semuanya ada
Rompak, bunuh, perkosa
Segala rencah hidup
Pahit manis di era
Dunia siber

Politik, kewangan, skandal
Huru-hara dunia moden
Walau lengkap
IT yang maju kononnya
Namun kejahilan masih melata
El nino, la nina juga
Menempa nama
Perubahan cuaca jawab tilikan
Kenapa masih alpa, manusia
Bukankah itu peringatan
Dari Tuhan?

Kelas Bahasa Melayu 1997
Cikgu Mohd Daik MDQ

15 February 2007

di mana bunga kembang

DI MANA BUNGA KEMBANG

Pepatah kata – di mana bunga kembang, di situlah kumbang menyeri. Rumah jiran Badri ada menaruh seorang gadis bernama Badariah yang muda bersih lagi baik pula budi pekertinya. Sebetulnya ketiga-tiga pemuda tersebut selalu memandang arah ke rumah Badariah dan sungguhpun tiap-tiap seorang pernah menampak paras yang ditinjau-tinjau itu tetapi tiadalah pernah menampak Badariah ada bersengaja menampakkan dirinya menunjukkan bahawa Badariah itu sangat-sangat menjaga maruah dan adabnya.

Ibu bapanya daripada orang-orang yang bernama juga. Pelajaran sekolah dan pelajaran madrasah serta dengan asuhan yang baik di rumahnya ada membawaBadariah kepada perangai yang terpuji. Dikasihi oleh ibu bapanya kerana pandai membela rumahtangga dan menjadi seri kampung di antara orang-orang muda.

Badariah cukup tahu rumah jirannya sekarang ada menaruh tiga orang anak-anak muda yang sebaya sama hebat dan sama-sama mencari jalan hendak memandang kepadanya tetapi tiadalah dihiraukannya kerana asuhan yang didapatinya tiada meluluskan anak-anak gadis melayani lelaki. Yang sebenarnya Badariah berkenan kepada sebarang satu daripada pemuda-pemuda yang tiga ini asakan dengan jalan yang hormat padahal ketiga-tiga anak muda ini sama-sama berniat hendak merebut Badariah.

MATI SEMUT KERANA GULA

Sekarang pemuda yang tiga itu sedang belajar pada bangku Darjah Tujuh. Darjah Tujuh itu pada zaman itu ialah setinggi-tinggi darjah sekolah Inggeris yang boleh dicapai oleh anak-anak Melayu.

Ahmad sedar bahawa kemudian daripada tamat Darjah Tujuh itu kelak ia akan meninggalkan Kampung Baharu kerana balik ke kampungnyadan kerana bekerja. Ahmad terkilan sekiranya ia tidak dapat berjumpa dengan Badariah padahal ia ada menaruh cita-cita hendak mengajak Badariah menjadi rakan hidupnya.

Ahmad tahu bahawa pada tiap-tiap petang Khamis di antara Asar dan Maghrib Badariah tinggal seorang diri di rumahnya kerana ibu bapanya mesti pergi mengaji ke surau yang tiada berapa jauh di situ. Ahmad telah berjaga kerana hendak mendapat peluang ini.

Sesudah diperhatikan bapa dan ibu Badariah telah sampai ke surau ia pun mencari akal hendak naik ke rumah Badariah dengan tiada diketahui oleh sesiapa terutama sekali oleh rakan-rakannya. Hendak seribu daya kata pepatah maka Ahmad telah sampai ke rumah Badariah pada masa Badariah duduk mengait di selasar. Badariah begitu terkejut memandang Ahmad naik jika tidak lekas dinyatakan oleh maksudnya yang baik itu nescaya Badariah telah menjerit.

Kekanda terpaksa datang – biarpun umpama kambing menyerahkan diri kepada sang majin – tetapi kerana hati kekanda telah tertambat kepada paras adinda dari masa mula-mula kekanda menentang muka adinda kira-kira tiga tahun dahulu hingga sampai sekarang maka tergagahlah kekanda.

Inilah kekanda beritahu mudah-mudahan tiada berapa bulan lagi kekanda akan berhenti daripada sekolah dan tibalah masa perpisahan dengan adinda padahal kekanda berhajat kiranya adinda sudi menjadi gambaran nyawa kekanda. Adakah adinda sudi? – kata Ahmad bertanya.

Tiadalah dapat adinda menjawab – kata Badariah. Tetapi sekali kekanda sudi, seribu kali adinda suka. Kurang telapak tangan nyiru adinda tadahkan. Hanya sanya adinda ini hak milik ibu bapa lagi jika sungguh kekanda sudi silalah berkira dengan ibu bapa adinda menurut adab bangsa kita.

AlhamduliLlah! Kata Ahmad inilah sahaja kekanda hendak tahu. Kalau begitu tolonglah katakan sepatah kata kepada kekanda – sambil memegang tangan Badariah yang halus itu - adinda sebenar-benarnya suka kepada kekanda?

Suka! Jawab Badariah.

Sekelip mata itu jua Ahmad pun turun mengucapkan selamat tinggal dengan muka berseri-seri lalu berjalan dihantar oleh Badariah dengan mata. Ahmad cukup ria dan pada malam itu ia ada resah sedikit diulit oleh hati yang riang.

part 3 lain hari

11 February 2007

HANYA SEKADAR SENYUMAN

Hanya sekadar senyuman
Begitu fikirmu
Tiada apa yang susah
Tiada yang salah
Memberi dan menerima
Adat bersahabat mesra

Hanya sekadar salam
Begitu andaiku
Tiada yang terasa
Tiada keluh kesah
Saling berhubungan
Eratkan persaudaraan

Hanya sekadar bertegur
Begitu andainya
Begitu juga andaimu
Dan juga andaiku
Namun siapa yang tahu
Nasib di hari kemudian
Dek falsafah persahabatan
Yang telah disalah ertikan!

#telah disiar dalam permaya.org dengan sedikit pembetulan

09 February 2007

kerja pertama

2 minggu lepas tengah belek susunan kitab lama ayah terjumpa buku ni..fulamak!jawi lama tuuu..tercungap2 jugak nak bacanya..tapi berkat minat dan kemahiran yang diberi Allah pada diri yang lemah ni dapat juga habiskan bacaan tu..

lama dulu ayah pernah suruh cuba2 menulis..biar jadi pengarang sorang anak ayah..well,lepas berenti keje ni (sebab nakjaga ayah jugok)..mak sebut lagi..akak sebut lagi..eeeeeeeeiiiiiii tension gak ni..

aku bukan pengarang..jauh sekali orang seni...yang pernah terdaya ditulis cuma beberapa citer.. tu pun masa sekolah menengah dulu..."masjidku" dan "Imbauan"...tapi SPM, BM dapat B aje..hahaha.camana orang boleh fikir yang diri ni boleh jadi pengarang?keliru..keliru

ni terjemahan karya jawi lama berusia 70 tahun..enjoy

PESAKA KAJI –PENGGAL KEEMPAT-
Kumpulan Cerita-cerita Pendek karangan Haji Abdul Rahim Kaji

PERTAMA –Persahabatan Yang Akrab Lagi Tulus
(Cetera ini disiarkan di dalam Warta Jenaka bil 52 bertarikh 2 September 1937)

PERMULAAN CETERA

Tersebut kisah seorang muda bernama Encik Ahmad dan seorang lagi bernama Encik Muhammad. Kedua-duanya sebaya yang sekampung lagi bersahabat terlalu setia antara satu sama lain semenjak dari Sekolah Melayu di kampung hingga mengaji ke sekolah pula pada sebuah sekolah Inggeris di Kuala Lumpur. Kerana kampungnya jauh maka Ahmad dan Muhammad itu merasa dirinya dagang di Kuala Lumpur.

Mereka mula-mula tinggal menumpang pada sebuah pencaus keling di Jawa Street kerana pada masa itu belum ada rumah tumpangan murid-murid Melayu di sana. Sungguhpun pada zahirnya mereka senang kerana mandi manda dan makan di dalam rumah tetapi Ahmad dan Muhammad tiada sekali-kali senang kerana pencaus itu hingar dari siang hingga ke malam kerana anak-anak pencaus itu ramai dan gholibnya mereka berbual-bual terkadang-kadang bertengkar-tengkar hingga jauh malam mengganggu Ahmad dan Muhammad daripada mutolaaah dan juga daripada tidur.

Ahmad dan Muhammad mendapat rakan bernama Badri iaitu seorang muda yang sebangku dengannya di dalam sekolah. Badri tahu kerunsingan kedua-dua rakannya kerana masa itu mereka hampir-hampir serahsia kerana akrab.

PUCUK DICITA ULAM TIBA

Badri belas kepada rakan-rakannya Ahmad dan Muhammad dan Badri cukup tahu bahawa akhlak keduanya cukup tinggi. Pada suatu hari Badri mempelawa kedua-dua rakannya tinggal di kampungnya di Kampung Baharu. Badri berkata ia tiada bersaudara dan ia tinggal bersama-sama dengan ibu dan bapanya.

Ajakan itu kepada Ahmad dan Muhammad adalah umpama pucuk dicita ulam tiba atau umpama orang mengantuk disorongkan bantal walhasil dua tiga hari di belakang Ahmad dan Muhammad pindah menumpang dan membayar makan kepada ibu Badri iaitu seorang ibu yang lapang hati lagi pengasih hingga Ahmad dan Muhammad merasa seolah-olah tinggal di rumah masing-masing jua.

Waamma Badri yang dahulunya sahabat tetapi sekarang telah menjadi seperti saudara. Sama-sama keluar pagi dan sama-sama balik petang. Seminum semakan dan seperjalanan tiap-tiap hari berkasih-kasihan antara satu sama lain. Kerana itu ibu Badri merasa gembira pula kerana anaknya seorang sahaja tetapi sekarang telah bertiga. Ahmad dan Muhammad hanya balik ke kampung pada masa cuti panjang.

ada lagi...lain kali