14 July 2007

akrab lagi tulus - last part

REZEKI HARIMAU TAKKAN KE MULUT BUAYA

Tatkala Muhammad mendapat jawapan menyatakan permintaan menjadi kerani itu diterima maka Muhammad pun belayar ke Sarawak dengan tiada memberitahu rakan-rakannya. Maksudnya semata-mata hendak menjauhkan diri supaya rakannya Ahmad bersenang lenang dengan isterinya Badariah kelak. Tetapi ketika itu Ahmad telah ghaib pula. Ahmad belayar dari Kuala Kelang menuju Belawan Deli dengan tiada memberitahu sesiapa dengan maksug hendak meninggalkan Badariah bersenang lenang dengan Muhammad.

Badariah telah mendengar Ahmad dan Muhammad telah ghaib. Badariah tiada tahu adakah Ahmad akan menunaikan janjinya. Empat lima hari di belakang Badariah mendengar pula ibubapa Ahmad dan Muhammad telah datang kerana mencari anak masing-masing kerana itu tahulah Badariah Ahmad yang dicintai telah ghaib.

Alangkah lukanya hati Badariah! Ahmad yang dinanti telah ghaib dan Muhammad yang boleh diharap sekiranya Ahmad mungkir telah hilang pula. Ini melepas itu tak dapat tetapi adalah ditentang dengan oleh Badariah dengan berani meskipun air matanya selalu berlinang.

Di dalam kemasyghulan itu Badariah menerima sepucuk surat dengan sulit daripada Ahmad dengan tiada memberitahu di mana ia sekarang. Isi surat itu semata-mata kerana memberi peluang kepada rakannya Muhammad bersukaria. Tiada berapa lama di belakang sepucuk surat daripada Muhammad tiba pula menyatakan lebih kurang seperti surat Ahmad tadi. Nyatalah sekarang Ahmad mengorbankan diri bagi Muhammad dan Muhammad mengorbankan diri bagi Ahmad tetapi Badariah hilang di tengah-tengah.

Badri yang tinggal tiada tahu menahu apa yang telah berlaku itu telah mulai memegang jawatan kerani di pejabat kerajaan Kuala Lumpur dan telah meminang Badariah. Dua tiga bulan di belakang ia pun berkahwin dengan selamat.

Badri dan Badariah masih pengantin baharu yang bercumbu-cumbuan lagi dengan tiba-tiba Badariah menerima dua bungkus hadiah sebungkus daripada Ahmad dan sebungkus daripada Muhammad. Tiada apa-apa surat di dalamnya melainkan “selamat pengantin baharu” tertampal pada hadiah-hadiah itu. Hadiah-hadiah adalah diterima dengan baik.

Semenjak itu tiadalah berhenti-henti Badariah menerima hadiah-hadiah daripada Ahmad dan daripada Muhammad terutama sekali pada hari raya tetapi tiadalah dapat dibalas kerana Ahmad dan Muhammad tiada memberi di mana unwannya.

ADA UMUR BERJUMPA LAGI

Empat tahun di belakang Badariah telah mempunyai dua orang anak seorang lelaki dan seorang perempuan. Pada suatu hari ketika Badariah menjemur kain yang baharu dibasuhnya ia terkejut melihat Ahmad datang menuju kepadanya. Dengan muka yang manis Ahmad menegur Badariah lalu bertanya berapa orang anaknya.

Anak yang sedang bermain-main itu dikenalkan oleh Badariah pada sangka Ahmad tentulah anak sahabatnya Muhammad. Badariah mempersilakan Ahmad naik ke rumah sementara ia ke dapur. Pada masa Ahmad beranggar ke rumah Badariah turun kerana mengambil kayu dengan tiba-tiba pula Badariah terperanjat melihat Muhammad terdiri di hadapannya.

Setelah bertanya-tanyaan seperti lazimnya maka Muhammad dengan sukacita mendengar Badariah telah mempunyai dua anak. Yang disangkanya anak rakannya Ahmad. Sebentar lagi ia pun naik ke rumah bersalam-salaman dengan Ahmad lalu duduk.

Sebelum mereka sempat berperi maka Badri telah pulang lalu naik bersalam-salaman pula. Badri terus masuk ke dalam bersalin dan keluar balik mendukung anaknya yang bongsu.

Ketika itu baharulah tahu bahawa yang bernasib baik itu yang sebenarnya Badri. Ahmad dan Muhammad mengurut dada dan baharulah sedar kepada kebebalan masing-masing.

Demikianlah ceteranya dua orang bersahabat yang setia yang seorang mencuba hendak berbudi kepada seorang lagi tetapi pertemuan itu selamanya di tangan Tuhan. Kemudian daripada itu tentulah tiada apa yang akan diceterakan lagi melainkan pada suatu hari Badri mengadakan suatu makan bagi rakan-rakannya Ahmad dan Muhammad dan dalam jamuan itu diminta Badariah bersyair atau berpantun menjemput semangat:-


Dahulunya tuan tiga saudara
Saya sebaya lagi setara
Saya seorang budak yang dura
Menerima tuan bukan berkira

Niat hatiku tidaklah memilih
Sebarang satu asakan boleh
Ahmad dahulu tidak menoleh
Tidaklah saya cuba berdalih

Janji diikat bagai disimpi
Surat Muhammad baharulah sampai
Surat dibaca hati bersepi
Entah yang mana mesti dicapai

Surat dijawab Ahmad pun hilang
Muhammad ghaib disambar helang
Mujur Badri redha semalang
Sudah disambut lalu dijulang



--------------------------------------- TAMAT-------------------------------------------

No comments: