22 July 2007

menghitung hari

Tengah asyik melayari internet..tetiber teman tepandang satu artikel ini..ia merupakan sepucuk surat dari calon isteri utk bakal suaminya..teman rasa ingin teman kongsikan sikit ilmu yang teman dapat dari surat tersebut..marilah kita sama-sama hayati..hehehe..mmg dah nak kawin beno teman ni..ya Allah permudahkanlah jalan untukku sampai ke gerbang perkahwinan..amin..jom kita hayati isi surat dibawah ini..
***********************************************************************************
Assalamu'alaikum Sejahtera buat calon suamiku, moga Allah sentiasa merahmati dan memberkati dirimu yang tidak pernah kutemui, namun doaku tidak pernah putus mengiringi setiap langkahmu demi meraih keredhaanNya…

“Seindah perhiasan dunia adalah wanita yang sholehah,”Kumulakan warkah ini dengan bait indah yang ditinggalkan Rasulullah saw kepada seisi alam. Wanita solehah! Idaman semua muslimin di alam maya ini..Alhamdulillah, itulah anjuran Islam yang kita cintai, pilihlah wanita yang mampu menyejukkan pandanganmu dan juga baitul muslim yang bakal dibina tika sampai saat itu, insyaAllah.

Calon zaujku,”Dinikahi seorang wanita itu kerana empat perkara hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah hal keagamaannya, maka beruntunglah kedua-dua tanganmu..”

Telah dinukilkan panduan sepanjang zaman, itulah lirikan utama buatmu memilih calon isteri. Tiap baris itu telah menjadi hafalanku sejak aku mengenali dunia baligh ini.Jika harta yang kau idamkan, ketahuilah diriku tidak punya apa-apa harta di dunia ini melainkan ilmu agama yang telah dititipkan buatku. Tiada harta untuk kupersembahkan dalam taklik ijab kita nanti. Tiada harta sebagai jaminan bahawa kau akan menikmati sedikit kesenangan apabila ijab bersaksi telah dilafazkan. Hanya ketenangan yang mampu aku sediakan buatmu kerana aku pernah terbaca kata-kata ...

"Dan di antara tanda-tanda kekuasaan Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikannya di antaramu rasa kasih dan sayang.¨ (Ar-Rum: 21)

Jika keturunan yang mulia itu yang kau dambakan, ketahuilah jua apa yang pasti, aku adalah keturunan mulia, ayahanda Nabi Adam as dan bonda Hawa as, sama seperti mu. Ingin aku berkongsi lafaz sahih ini denganmu ...

”... maka bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang yang bertawakal kepadaNya. Jika Allah menolong kamu maka, tiada seseorangpun yang boleh menghalang kamu, dan jika ia mengecewakan kamu, maka siapakah yang dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan demikian) ? dan ingatlah kepada Allah jualah hendaknya orang yang beriman itu berserah diri...” (Ali Imran : 159-160)

Kecantikan, itulah pandangan pertama setiap insan. Malah aku meyakini bahawa kau juga tidak terlepas seperti insan yang lain. Ketahuilah, jika kecantikan itu yang kau inginkan daripada diriku, kau telah tersalah langkah. Tiada kecantikan yang tidak terbanding untuk kupertontonkan padamu. Telah aku hijabkan kecantikan diriku ini dengan amalan ketaatan kepada tuntutan agama yang kucintai. Kau hanya membuang masa jika kau menginginkan kecantikan lahiriah semata-mata.

Aku juga tidak menjanjikan aku mampu membahagiakan rumahtangga kita nanti, kerana aku memerlukan engkau untuk bersama-samaku menegakkan dakwah islamiyyah ini, dan aku merelakan diri ini menjadi penolongmu untuk membangunkan sebuah markas dakwah dan tarbiyyah ke arah jihad hambaNya kepada Penciptanya yang agung.

Melalui pencarian ilmu agama bersama, marilah kita jadikan pernikahan ini sebagai risalah demi meneruskan perjuangan Islam. Aku masih kekurangan ilmu agama, tetapi berbekalkan ilmu agama yang telah dibekalkan ini, aku ingin menjadi isteri yang sentiasa mendapat keredhaan Allah dan suamiku untuk memudahkan aku membentuk usrah muslim antara aku, kau dan anak-anak kita untuk dibaiahkan dengan ketaatan kepada Allah Yang Maha Esa.

Aku bercita-cita bergelar pendamping solehah, seperti mana yang dijanjikan Rasul," Semoga Allah memberi rahmat kurnia kepada lelaki yang bangun di tengah malam lalu dia sembahyang dan membangunkan isterinya, maka sekiranya enggan juga bangun untuk bersembahyang, dia merenjiskan air ke mukanya. Semuga Allah memberi rahmat kurnia kepada wanita yang bangun di tengah malam lalu bersembahyang dan membangunkan suaminya. Maka jika dia enggan, dia merenjiskan air kemukanya." (Riwayat Abu Daud dengan Isnad yang sahih)

Renungilah FirmanNya ini, lalu kau akan tahu hakikat diriku dan dirimu dipertemukan oleh Allah atas namanya pertemuan dan jodoh.“Hai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dari diri yang satu, dan daripadanya Allah menciptakan isterinya; dan daripada keduanya Allah memperkembangbiakkan lelaki dan perempuan yang banyak. Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) namaNya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturrahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.” (An Nisaa’ : 1)

Calon Suamiku yang dirahmati,
" Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagiandari harta mereka".(An-Nissa':34)

Membenarkan seperti apa yang telah Dia katakan dalam QalamNya yang mulia, aku meyakini bahawa engkau adalah pemimpin untukku dan anak-anak pewaris kejihadan Islam yang bakal lahir. Jadikanlah pernikahan ini sebagai asas pembangunan iman dan bukannya untuk memuaskan bisikan syaitan yang menjadikan ikatan pernikahan sebagai tunjang nafsu semata-mata. Moga diriku dan dirimu sentiasa didampingi kerahmatan dan keredhaanNya. Lakukanlah tanggungjawabmu itu dengan syura kesabaran, qanaah ketabahan moga kita akan menjadi salah satu daripada jemaah saf menuju ke syurga insyaAllah.

Bantulah aku dalam menjayakan agama Allah ini melalui pernikahan, kerana ia adalah laluan untuk aku menyempurnakan separuh daripada agamaku,insyaAllah. Akhlakmu yang terdidik indah oleh ibu bapa dan orang sekelilingmu, itulah yang aku harapkan daripada kekayaan duniawi yang kau sediakan.

Kutitipkan sebahagian daripada pembacaanku dalam Jalan Dakwah Mustaffa Masyhur, tidak lagi wujud keborosan dan kebakhilan kerana semuanya berada di dalam udara Qana'ah (berpuas hati dengan apa yang ada), redha dan yakin bahawa dunia ini bukanlah negara Janatunna'im.

Lihatlah rumahtangga Rasulullah s.a.w kadang-kadang berlalu sebulan demi sebulan, pernah dapurnya tidak berasap kerana tidak ada bahan makanan yang dapat dimasak. Walaupun demikian susahnya, rumahtangga Rasulullah s.a.w tetap menjadi rumahtangga yang paling bahagia yang tidak ada tolok bandingnya hingga ke hari ini.

Terlalu panjang rasanya aku mencoretkan warkah ini. Cukup dahulu buat tika ini, andai diizinkan aku akan kembali menitipkankan lagi kiriman bertintakan hati ini. Akhir bicara, maaf andai tiada pertemuan yang kususuli kerana padaku biarlah merindu daripada jemu tatkala kita disatukan.Wassalam

##menghitung hari..1 september 2007

kawan lama


menjejak kawan lama rupanya taklah susah sangat kalau masing-masing ada access pada internet..malangnye kengkawan satu zaman dulu ramainya sudah menjawat jawatan 'penunggu rumah'...yang boleh jumpe semuanye adik-adik yang masih sibuk mengadap kitab-kitab..apa la pekdahnye deme nok melayan 'bekas' senior yang takde la vogue mana ni...


deq mar,ummu danish..nama-nama yang pernah menghiasi diari..well,actually deq mar je la..coz she was my roommate for..berapa lama ek?emmm..3 years lebih kurangnye..sempatlah diperhati peribadi dan perangai masing2..kenangan?usah citer la betapa banyaknye..can't say how much i miss her n her friends!


14 July 2007

akrab lagi tulus - last part

REZEKI HARIMAU TAKKAN KE MULUT BUAYA

Tatkala Muhammad mendapat jawapan menyatakan permintaan menjadi kerani itu diterima maka Muhammad pun belayar ke Sarawak dengan tiada memberitahu rakan-rakannya. Maksudnya semata-mata hendak menjauhkan diri supaya rakannya Ahmad bersenang lenang dengan isterinya Badariah kelak. Tetapi ketika itu Ahmad telah ghaib pula. Ahmad belayar dari Kuala Kelang menuju Belawan Deli dengan tiada memberitahu sesiapa dengan maksug hendak meninggalkan Badariah bersenang lenang dengan Muhammad.

Badariah telah mendengar Ahmad dan Muhammad telah ghaib. Badariah tiada tahu adakah Ahmad akan menunaikan janjinya. Empat lima hari di belakang Badariah mendengar pula ibubapa Ahmad dan Muhammad telah datang kerana mencari anak masing-masing kerana itu tahulah Badariah Ahmad yang dicintai telah ghaib.

Alangkah lukanya hati Badariah! Ahmad yang dinanti telah ghaib dan Muhammad yang boleh diharap sekiranya Ahmad mungkir telah hilang pula. Ini melepas itu tak dapat tetapi adalah ditentang dengan oleh Badariah dengan berani meskipun air matanya selalu berlinang.

Di dalam kemasyghulan itu Badariah menerima sepucuk surat dengan sulit daripada Ahmad dengan tiada memberitahu di mana ia sekarang. Isi surat itu semata-mata kerana memberi peluang kepada rakannya Muhammad bersukaria. Tiada berapa lama di belakang sepucuk surat daripada Muhammad tiba pula menyatakan lebih kurang seperti surat Ahmad tadi. Nyatalah sekarang Ahmad mengorbankan diri bagi Muhammad dan Muhammad mengorbankan diri bagi Ahmad tetapi Badariah hilang di tengah-tengah.

Badri yang tinggal tiada tahu menahu apa yang telah berlaku itu telah mulai memegang jawatan kerani di pejabat kerajaan Kuala Lumpur dan telah meminang Badariah. Dua tiga bulan di belakang ia pun berkahwin dengan selamat.

Badri dan Badariah masih pengantin baharu yang bercumbu-cumbuan lagi dengan tiba-tiba Badariah menerima dua bungkus hadiah sebungkus daripada Ahmad dan sebungkus daripada Muhammad. Tiada apa-apa surat di dalamnya melainkan “selamat pengantin baharu” tertampal pada hadiah-hadiah itu. Hadiah-hadiah adalah diterima dengan baik.

Semenjak itu tiadalah berhenti-henti Badariah menerima hadiah-hadiah daripada Ahmad dan daripada Muhammad terutama sekali pada hari raya tetapi tiadalah dapat dibalas kerana Ahmad dan Muhammad tiada memberi di mana unwannya.

ADA UMUR BERJUMPA LAGI

Empat tahun di belakang Badariah telah mempunyai dua orang anak seorang lelaki dan seorang perempuan. Pada suatu hari ketika Badariah menjemur kain yang baharu dibasuhnya ia terkejut melihat Ahmad datang menuju kepadanya. Dengan muka yang manis Ahmad menegur Badariah lalu bertanya berapa orang anaknya.

Anak yang sedang bermain-main itu dikenalkan oleh Badariah pada sangka Ahmad tentulah anak sahabatnya Muhammad. Badariah mempersilakan Ahmad naik ke rumah sementara ia ke dapur. Pada masa Ahmad beranggar ke rumah Badariah turun kerana mengambil kayu dengan tiba-tiba pula Badariah terperanjat melihat Muhammad terdiri di hadapannya.

Setelah bertanya-tanyaan seperti lazimnya maka Muhammad dengan sukacita mendengar Badariah telah mempunyai dua anak. Yang disangkanya anak rakannya Ahmad. Sebentar lagi ia pun naik ke rumah bersalam-salaman dengan Ahmad lalu duduk.

Sebelum mereka sempat berperi maka Badri telah pulang lalu naik bersalam-salaman pula. Badri terus masuk ke dalam bersalin dan keluar balik mendukung anaknya yang bongsu.

Ketika itu baharulah tahu bahawa yang bernasib baik itu yang sebenarnya Badri. Ahmad dan Muhammad mengurut dada dan baharulah sedar kepada kebebalan masing-masing.

Demikianlah ceteranya dua orang bersahabat yang setia yang seorang mencuba hendak berbudi kepada seorang lagi tetapi pertemuan itu selamanya di tangan Tuhan. Kemudian daripada itu tentulah tiada apa yang akan diceterakan lagi melainkan pada suatu hari Badri mengadakan suatu makan bagi rakan-rakannya Ahmad dan Muhammad dan dalam jamuan itu diminta Badariah bersyair atau berpantun menjemput semangat:-


Dahulunya tuan tiga saudara
Saya sebaya lagi setara
Saya seorang budak yang dura
Menerima tuan bukan berkira

Niat hatiku tidaklah memilih
Sebarang satu asakan boleh
Ahmad dahulu tidak menoleh
Tidaklah saya cuba berdalih

Janji diikat bagai disimpi
Surat Muhammad baharulah sampai
Surat dibaca hati bersepi
Entah yang mana mesti dicapai

Surat dijawab Ahmad pun hilang
Muhammad ghaib disambar helang
Mujur Badri redha semalang
Sudah disambut lalu dijulang



--------------------------------------- TAMAT-------------------------------------------

13 July 2007

sayang

KULIAHKU
Sesekali tenangnya air di dalam baldi
Berkocak diiring tempikan
Kekadang jeritan halus
Oren yang berbaki di bekas
Sisa kuning di gelas
Dihiasi kapal-kapal apung moden
AmatiLlah, permata berkilau di hati kami
Senyuman yang dihadiahkan
Bersama aliran air terjun yang tak putus
Kami lonjakkan harapan yang bersemi
Bahagia hidupmu di kemudian hari
Tumbuh gembira tanpa derita
AmatiLlah…pemangkin kesabaran
Dan kelembutan achik …
Dalam diam tanpa sedar
Kaulah pensyarah dan pentarbiah hati ini …


Sayang adik! 28/02/2004

kala terluang..

RAIHANAH
Raihanah seindah namanya
Sebaik budi yang terzahir
Selembut tutur bicara yang kau bisikkan
Ayunan langkah yang diperhati
Dari jauh ku ukirkan senyum ini

Raihanah permata hati ayah bonda
Yang selalu didoakan sesudah salam
Juga usai mencelik mata di permulaan hari
Dan harapan yang semakin menggunung itu
Raihanah bukan diciptakan untuk memungkiri
Bukan juga kesempurnaan yang diidamkan
Setakat termampu hidup dititi
Bersama redha Yang Kuasa

Raihanah…
Seindah namamu…
Seharum angananku…
He..he...he…….


Syaima’a 20/12/2003