19 November 2007

new arriving

sesuai atau tidak tajuk entry kali ni?

a new baby arrived 6 hari lepas..masih tak cukup seminggu,asyik tido je kerjanya..kata orang,budak membesar masa diaorg tido..so,kena biar je la bila dia tido..no noise allowed!!

terbongkok menguruskan kain baju baby..alahai..penatnye..

well,bro banji..actually tak susah pun nak amalkan ihtisab ni..tiap kali nak buat apa-apa,yg pertama terlintas di kepala ialah apakah ada redha Allah pada apa yg akan dilakukan tu..once kita dah terbiasa ihtisab,the next actions we're going to do..secara automatik kita akan ingat utk ihtisab..tak caye?cuba dulu..

ketika mengambilkan segelas air untuk ibu/ayah/suami/isteri,apa yg terlintas di hati bukan hanya semata utk menggembirakan mereka bahkan ianya satu bentuk ibadah juga..bukankah menyenangkan hati mereka telah dijanjikan pahala?tapi itu,semua pun dah tahu,kan?

anyway,ketika memutarkan suis menghidupkan radio..pernahkah memikirkan bahawa apakah yg bakal didengar itu akan menjemput redha Allah atau sebaliknya?

trust me! someone has been stopped by this ihtisab from switching on his radio!kerana dia sedar,mendengar alunan radio yg kadang2 tak ada faedah sgt tu sama seperti buang masa begitu shj..sedangkan buang masa boleh diibaratkan spt membunuh diri dlm senyap!bukankah masa yg diguna tu bakal ditanya jua??

by the way,congratulation to my sister atas kedatangan baby baru..moga berkat Allah sentiasa mengiringi baby Arham

11 November 2007

muhasabah lagi

*nak disambung lagi berkenaan ihtisab @ muhasabah..ada yg muhasabah selepas melakukan sesuatu perkara..tapi alangkah baiknya dapat ihtisab sebelum melakukan sesuatu..saat memutarkan paip air untuk berwudhu' dapat ihtisab..air usah dialirkan terlalu banyak sehingga membawa kepada pembaziran..dan berbagai perkara lagi yg sering dilakukandlm hidup seharian..bukanlah bermaksud kita menghitung pahala seolah2 terlalu yakin dgn amalan sendiri..tetapi sentiasa merasakan faedah ibadat di dalam segala gerak geri..malah mengingatkan diri bahawa tiap gerak,tiap hela nafas ini sepatutnya hanyalah keranaNya dan pada perkara yg diredhaiNya..atau annas sudah terlalu berlebihan di dlm hal ini..salam maaf..mohon ampun dariNya*

Kenapa berbicara tentang ihtisab ini?

Duhai bunga di padang yang luas…

Kadang-kadang anda zuhud di dalam mengerjakan amalan soleh..!

Maksudnya anda tidak merasakan semangat dalam melakukannya, dan sebabnya mungkin kerana anda tidak mengetahui kepentingan amalan ini atau ganjaran pahala yang akan diterima, atau anda jahil berkenaan beberapa amalan ringkas yang sebenarnya boleh membawa anda ke tempat(darjat) yang lebih tinggi, maka anda memperlekeh-lekehkannya..!

Dan kebiasaannya ini semua memberi gambaran tiada amalan ihtisab di dalam kehidupan anda…

Dan mungkin juga anda tidak mengetahui apakah itu ihtisab? Dan apakah yang anda perhitungkan?.

Kadang-kadang ketika melakukan beberapa amalan soleh, anda dapat merasakan seseorang melarang dan berkata kepada anda : usahlah menyusahkan dirimu… cukuplah apa yang telah kamu kerjakan sebelum ini… untuk apakah usaha ini? Perkara ini tidaklah memerlukan semua itu… janganlah kamu menyekatkan dirimu sedangkan kamu masih muda belia… dan sebagainya.

SubhanaLlah ! Maha Suci Allah ! Bilakah patut beramal, kalau bukan di masa muda belia?.

Kalaulah mereka mengetahui bahawa mereka dari golongan yang dihalang, dan andalah yang akan mengatakan kepada mereka : cukuplah… cukuplah, rehatkanlah diri kamu dari kelalaian dan kesia-siaan… janganlah kamu memenatkan diri dengan kelupaan… dan kasihanilah ia dengan maksiat yang ia tanggung…

Adapun jika anda melakukan amalan soleh yang memberi manfaat kepada orang lain seperti menunaikan hajat muslimin dari kalangan sanak keluarga dan saudara pada jalan Allah serta berkasih-kasihan kepada mereka, lalu anda akan mendengar ucapan-ucapan melemahkan iman yang berbagai-bagai :

'Mereka tidak berhak dengan apa yang kamu lakukan untuk mereka…setiap kali kamu menolong, mereka tidak pernah sekalipun menolongmu…dahulu pernahkah dia hadiahkanmu hadiah hingga kamu hadiahkan pula kepadanya?'... dan sebagainya.

Seolah-olahnya kita diciptakan untuk melakukan sesuatu kerana orang lain!

Jika mereka merelakan kita, mereka akan mengkritik kita berbuat baik kepada orang. Jika mereka marahkan kita pula, mereka akan mengkritik kita berbuat jahat kepada orang lain.

Kalau begitu, apa lagi yang tinggal untuk akhirat?...

Apakah yang akan anda lihat pada helaian amalan anda jika semua amalan anda bergantung kepada hubungan peribadi anda dengan manusia lain dan bukannya kerana Allah semata-mata!...

Sesungguhnya hari akan berlalu dengan cepat, maka janganlah anda terperanjat dengan helaian amalan yang kosong dari amalan-amalan yang dikerjakan kerana inginkan redho Allah…

Dapatkah anda rasakan – sahabatku – di sana ada seseorang yang sangat bersederhana pada melakukan amalan soleh, bahkan dia mungkin menganggap amalan soleh itu sebagai perkara yang lemah dan remeh! Seperti amalan memaafkan orang dan amalan sifat lemah lembut sebagai contohnya…!

Kerana ini semualah, membicarakan tentang ihtisab pahala adalah perkara yang kita perlukan…

10 November 2007

sambung cerita

selepas lama bercuti..tangan baru terasa nak menaip lagi..thanks to Bro Banji,atas tips2 untuk menaikkan semangat untuk menyambung tulisan..walaupun mungkin akan lebih sibuk selepas ni..

...bersambung...

24 September 2007

salam Ramadhan

dalam meraikan Ramadhan yang sudah berlalu permulaannya, pertengahannya ini mungkin sudah menampakkan sedikit sebanyak ke'culasan'..bimbang benar sang hati, memikirkan penyudahnya..apakah berbentuk pengabdian di masjid atau pengabdian di hujung dapur menyiapkan juadah raya..ataukah juga di gedung-gedung berbelanja..maklum saja, raya cuma setahun sekali..... .kata kita..

jikalau diteliti mereka yang terdahulu bagaimanakah mereka menunaikan ibadah puasa, kita akan melihat betapa jauhnya jarak beribadah antara kita dan mereka.. maka bagaimanakah caranya kita menyambut Ramadhan supaya ia selaras dengan sambutan yang dilakukan oleh para Salafusoleh?

~1~ memelihara hukum-hakam puasa : puasa tidak akan sah melainkan dengan 2 syarat iaitu ikhlas dan menurut apa yang disyariatkan. yang dikatakan ikhlas ialah kita menghadapkan seluruh hati kepada Allah dan semata-mata mengharapkan pahala dariNya. menurut syariat pula,ialah menunaikan segala hukum-hakam sehingga puasa dianggap sah dan diberi ganjaran pahala oleh Allah.

~2~ memelihara segala amalan fardu : sembahyang merupakan tiang agama, bagaimanakah mereka yang berpuasa tetapi cuai dalam menunaikan sembahyang..sedang mereka mengetahui bahawa kewajipan solat adalah lebih besar daripada kewajipan berpuasa.

~3~ memperbanyakkan zikir dan bacaan Al Quran : RasuluLlah pada bulan Ramadhan membaca Quran bersama Jibrail..disebut oleh Sufian ats Atsauri bahawa RAsuluLlah meninggalkan segala ibadah sunat yang lain kerana membaca Quran.

~4~ pemurah dan bersedekah : dari Anas r.a bahawasanya RasuluLlah bersabda sebaik-baik sedekah ialah sedekah di bulan Ramadhan.

~5~ beri'tikaf dan memperbanyakkan ibadah di 10 yang akhir : i'tikaf membuka ruang kepada segala ibadah yang lain seperti tadarrus, solat berjemaah, berzikir dan lain-lain lagi..ramai orang kini yang tidak beri'tikaf sedangkan ianya sabit melalui Kitab dan Sunnah.

~6~ mencari lailatulqadar : puasa menyebabkan diterimanya do'a..mereka yang berpuasa pada bulan yang mulia ini patut memperbanyakkan berdo'a. Rasulullah bersabda mereka yang paling lemah ialah mereka yang lemah dari berdo'a.. sabda Baginda juga siapa yang berqiam di malam al qadar dengan keimanan dan ihtisab, diampunkan baginya dosa yang terdahulu.

meraikan Ramadhan
dalam sedar atau kelam
mencari redha atau menghimpun dosa


#sekadar peringatan sesama muslim yang bersaudara

11 September 2007

lagi mau kira..

Menarik … saya fikir anda akan memulakan hisab pahala sekarang ketika anda membaca tulisan ini!

Mari kita lihat apa yang akan anda perhitungkan?
1) Menuntut ilmu agama.
2) Menjauhkan kejahilan dari diri anda dan dari umat Islam.
3) Menghabiskan masa dengan perkara yang memberi faedah.
4) Mendekatkan diri kepada Allah dengan mengumpulkan seberapa banyak kebaikan melalui cara mencuba untuk menghisab pahala amalan yang akan diberitahu di dalam tulisan ini insya Allah …

Semoga Allah membuka dan memudahkan bagi anda untuk menghitung pahala pada amalan-amalan yang belum disebut di sini!

Dan “ itulah kelebihan Allah yang akan diberikan kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan Allah mempunyai kelebihan yang besar” [ Al Hadid : 21 ]


Maaf, apa maksud ihtisab (menghitung pahala)?

Ibnu Al Asir menjawab pertanyaan anda dengan berkata : “ Ihtisab pada amalan-amalan soleh dan pada perkara-perkara yang makruh adalah bersegera untuk mendapat ganjaran dengan penyerahan diri dan kesabaran, ataupun dengan menggunakan berbagai-bagai kebaikan dan melakukannya mengikut aturan sambil mengharapkan ganjaran pahala yang dijanjikan”. [ An Nihayah / Ibnu Al Asir ]

Oleh kerana itu, hisablah amalan seharian anda seperti mengerjakan ketaatan…bersabar menghadapi perkara yang makruh…pergerakan dan berdiam diri…agar semuanya dapat dihitungkan dari kumpulan amalan-amalan anda yang soleh…

Sesungguhnya kebiasaan anda di dalam menghitung amalan adalah kebaikan di atas kebaikan…dan dari kelebihan dan rahmat Allah kepada hamba-hambaNya ialah : “ sesiapa yang berniat melakukan amal kebaikan, tetapi dia disibukkan dengan amal lain yang lebih afdhal dan tidak boleh pula dilakukan bersama : maka lebih baik baginya ditulis pahala bagi amalan yang terhalang oleh amal yang lebih baik itu, bahkan kalau dia disibukkan dengan amal yang seumpamanya, dan kelebihan Allah itu sangat besar” [ Syarhu Jawami’e Al Akhbar / Ibn Sa’adi]

Kenapa penting untuk anda menghitung pahala pada semua perkara?..

1) Supaya anda dapat merealisasikan tujuan anda diciptakan, kerana lahirnya anda di dunia ini adalah satu peristiwa yang besar dan ia diikuti dengan tanggungjawab dan anda dihitung berkenaannya…kerana itu “ seorang muslim sepatutnya menjadikan keinginan dan tujuannya dalam kehidupan ini adalah untuk melaksanakan tujuan dia dicipta iaitu mengabdikan diri kepada Allah ta’ala, berjaya mendapatkan redho dan nikmat Allah dan melepaskan diri dari kemurkaan dan azab Allah.

Dia juga patut berusaha supaya semua perkara yang dikerjakannya adalah dengan niat untuk mendapat redho Allah, samada di dalam perkara ibadat yang wajib,sunat,harus atau perkara yang perlu dihindari. Pada ketika itu, perkara harus akan menjadi satu ibadat dan akan diberi ganjaran pahala meninggalkannya jika ia dari perkara yang dilarang, di sana terdapat banyak dalil yang telah membuktikannya…” [ Al Qaul Al Mufid Syarhu Kitab At Tauhid / Ibn Al Utsaimin]

Wahai sahabat…

Usahamu untuk menghisab ganjaran pada semua amalanmu akan meletakkan dirimu berada di dalam sesi ibadat yang berterusan tidak terputus, kemudian dirimu akan melaksanakan – dengan izin Allah – tujuan dirimu diciptakan oleh Allah, firman Allah ta’ala : “ dan tidak Aku jadikan jin dan manusia itu melainkan untuk menyembahKu (beribadat kepadaKu) “ [ Az Zariyat / 56]

2) Ihtisab sangat penting kerana ia akan membezakan di antara ibadat anda dan kebiasaan anda…” dan mestilah dibezakan antara adat kebiasaan daripada amal ibadat, contohnya mandi untuk kebersihan atau untuk menyejukkan diri, mandi kerana hadas besar, mandi jenazah, mandi untuk hari Jumaat dan sebagainya. Ini semua mestilah disertakan dengan niat mengangkat hadas atau niat untuk mandi sunat…segalanya mestilah disertai dengan niat.” [ Syarh Jawami’e Al Akhbar / Ibn Sa’adi]

3) Anda sangat memerlukan untuk menghisab niat solehah anda kerana semua amalan berkait rapat dengan niat samada diterima atau ditolak, mendapat ganjaran pahala atau mendapat azab seksa, sabda Nabi sallaLlahu ‘alaihi wasallam telah membuktikan : “ sesungguhnya setiap amalan itu adalah dengan niat dan sesungguhnya setiap orang itu baginya berdasarkan apa yang dia niatkan “.

Sekarang… tidakkah anda dapati bahawa perkara ihtisab ini suatu yang penting dan bahaya?... baiklah. Ayuh kita sama-sama menghitungkan amalan…