15 February 2007

di mana bunga kembang

DI MANA BUNGA KEMBANG

Pepatah kata – di mana bunga kembang, di situlah kumbang menyeri. Rumah jiran Badri ada menaruh seorang gadis bernama Badariah yang muda bersih lagi baik pula budi pekertinya. Sebetulnya ketiga-tiga pemuda tersebut selalu memandang arah ke rumah Badariah dan sungguhpun tiap-tiap seorang pernah menampak paras yang ditinjau-tinjau itu tetapi tiadalah pernah menampak Badariah ada bersengaja menampakkan dirinya menunjukkan bahawa Badariah itu sangat-sangat menjaga maruah dan adabnya.

Ibu bapanya daripada orang-orang yang bernama juga. Pelajaran sekolah dan pelajaran madrasah serta dengan asuhan yang baik di rumahnya ada membawaBadariah kepada perangai yang terpuji. Dikasihi oleh ibu bapanya kerana pandai membela rumahtangga dan menjadi seri kampung di antara orang-orang muda.

Badariah cukup tahu rumah jirannya sekarang ada menaruh tiga orang anak-anak muda yang sebaya sama hebat dan sama-sama mencari jalan hendak memandang kepadanya tetapi tiadalah dihiraukannya kerana asuhan yang didapatinya tiada meluluskan anak-anak gadis melayani lelaki. Yang sebenarnya Badariah berkenan kepada sebarang satu daripada pemuda-pemuda yang tiga ini asakan dengan jalan yang hormat padahal ketiga-tiga anak muda ini sama-sama berniat hendak merebut Badariah.

MATI SEMUT KERANA GULA

Sekarang pemuda yang tiga itu sedang belajar pada bangku Darjah Tujuh. Darjah Tujuh itu pada zaman itu ialah setinggi-tinggi darjah sekolah Inggeris yang boleh dicapai oleh anak-anak Melayu.

Ahmad sedar bahawa kemudian daripada tamat Darjah Tujuh itu kelak ia akan meninggalkan Kampung Baharu kerana balik ke kampungnyadan kerana bekerja. Ahmad terkilan sekiranya ia tidak dapat berjumpa dengan Badariah padahal ia ada menaruh cita-cita hendak mengajak Badariah menjadi rakan hidupnya.

Ahmad tahu bahawa pada tiap-tiap petang Khamis di antara Asar dan Maghrib Badariah tinggal seorang diri di rumahnya kerana ibu bapanya mesti pergi mengaji ke surau yang tiada berapa jauh di situ. Ahmad telah berjaga kerana hendak mendapat peluang ini.

Sesudah diperhatikan bapa dan ibu Badariah telah sampai ke surau ia pun mencari akal hendak naik ke rumah Badariah dengan tiada diketahui oleh sesiapa terutama sekali oleh rakan-rakannya. Hendak seribu daya kata pepatah maka Ahmad telah sampai ke rumah Badariah pada masa Badariah duduk mengait di selasar. Badariah begitu terkejut memandang Ahmad naik jika tidak lekas dinyatakan oleh maksudnya yang baik itu nescaya Badariah telah menjerit.

Kekanda terpaksa datang – biarpun umpama kambing menyerahkan diri kepada sang majin – tetapi kerana hati kekanda telah tertambat kepada paras adinda dari masa mula-mula kekanda menentang muka adinda kira-kira tiga tahun dahulu hingga sampai sekarang maka tergagahlah kekanda.

Inilah kekanda beritahu mudah-mudahan tiada berapa bulan lagi kekanda akan berhenti daripada sekolah dan tibalah masa perpisahan dengan adinda padahal kekanda berhajat kiranya adinda sudi menjadi gambaran nyawa kekanda. Adakah adinda sudi? – kata Ahmad bertanya.

Tiadalah dapat adinda menjawab – kata Badariah. Tetapi sekali kekanda sudi, seribu kali adinda suka. Kurang telapak tangan nyiru adinda tadahkan. Hanya sanya adinda ini hak milik ibu bapa lagi jika sungguh kekanda sudi silalah berkira dengan ibu bapa adinda menurut adab bangsa kita.

AlhamduliLlah! Kata Ahmad inilah sahaja kekanda hendak tahu. Kalau begitu tolonglah katakan sepatah kata kepada kekanda – sambil memegang tangan Badariah yang halus itu - adinda sebenar-benarnya suka kepada kekanda?

Suka! Jawab Badariah.

Sekelip mata itu jua Ahmad pun turun mengucapkan selamat tinggal dengan muka berseri-seri lalu berjalan dihantar oleh Badariah dengan mata. Ahmad cukup ria dan pada malam itu ia ada resah sedikit diulit oleh hati yang riang.

part 3 lain hari

No comments: